Tuesday, September 4, 2012

Kegemilangan Tekat

Salam sejahtera semua...rasanya masih belum lagi terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca-pembaca blog saya yang saya hargai sekalian. Minta ampun dan maaf zahir dan batin andai ada tersalah dan tersilap sepanjang mengenali.

Hari ni saje je kita cuci mata dengan kesenian tekat pulak. Dulu-dulu dalam tahun 1980an ke atas tekat ni memang menjadi kegemilangan dan kebanggan orang di Perak apabila adanya majlis perkahwinan dalam ahli keluarga...biasanya jika pengantin perempuan, maka lebih meriahlah majlis perkahwinan dihiasi dengan set tekat dari pelamin, meja pengantin sampailah ke bilik tidur. Kaum ibu, nenek-nenek dan kakak-kakak akan sama-sama menekat untuk persiapan perkahwinan, biasanya 5-6 bulan sebelum majlis kaum ibu dah mula menekat. Begitulah kemeriahannya tekat dengan orang Perak. Bagi yang kurang mahir menekat mereka akan menempah kepada 'pandai tekat'.

Nenda saya sendiri boleh menekat dan kemahiran itu diwarisi oleh ibu saya dan seorang ibu saudara saya. Pada majlis perkahwinan nenda saya dalam tahun 1948, nenda saya menekat sendiri set bilik tidur, pelamin dan lain-lain hiasan. Kesemuanya masih simpan sehingga kini dan beberapa orang ibu saudara saya kahwin juga ditekat oleh nenda dan dibantu ibu dan makcik saya. Sampaikan ada almari khas yang saiz agak besar ditempah untuk meletakkan set tekat di sesebuah rumah.

Kini, tiada lagi suasana seperti itu, kerana sekarang majlis perkahwinan lebih kepada konsep moden, kepupusan tukang pandai tekat juga satu faktornya dan kini harga untuk menempah set tekat mencapai harga ribuan ringgit juga salah satu faktor kekurangan penggunaan tekat masa kini dan boleh dikatakan hanya golongan berduit saya boleh menempahnya kini. Tekat tidak lagi diguna pakai, bagaimanapun masih ada juga perkahwinan di Perak yang menggunakan set tekat kebanyakkannya yang diwarisi turun temurun.

Buruan saya baru-baru ini berbaloi bagi saya kerana saya dapat menambah beberapa koleksi tekat walaupun tidak lengkap antaranya, cior, sejadah, bantal pipih, bantal golek, kipas, bantal pelamin, bantal kaki untuk berinai dan bantal tidur. Kebanyakkannya hanya warna merah. Banyak lagi item-item tekat pada masa dulu antaranya, kasut pengantin, langsir, kelambu, penutup labu kaca, tapak labu kaca, tepak sireh, tudung saji, lapik pinggan, gunungan pelamin, ombak kekuda, hiasan pelamin dan macam-macam lagi.
Harap-harap satu masa nanti kemeriahan tekat di majlis perkahwinan kembali seperti dulu...sekian jumpa lagi di lain entry.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Ezany....Kak Pah Ankara..owh ada blog jugak ye...

    ReplyDelete
  2. salam.. ada buat sewaan ke ya untuk tekat ni?

    ReplyDelete