Showing posts with label Tembaga Lama. Show all posts
Showing posts with label Tembaga Lama. Show all posts

Monday, January 11, 2016

MENGILAP KOLEKSI MEJA TEMBAGA LAMA

Salam sejahtera buat semua pengunjung setia blog saya. Agak lama saya tak kongsikan koleksi peribadi saya. Hari ni saya kongsikan koleksi barang tembaga lama saya iaitu meja atau dulang tembaga yang berkakikan kayu. Meja tembaga macam ini dahulunya popular di sekitar tahun 60an hingga ke 70an kalau tak silap saya. ada bentuk bujur dan bulat dan ada saiz kecil, sederhana dan besar. Koleksi yang saya ada ini yang jenis saiz sederhana dan berbentuk bulat. Asalnya saya dapat dalam keadaan kusam agak buruk dan cuti hujung minggu lepas saya cuci semula meja tembaga ini. Jom ikuti gambar-gambar di bawah.

Kiri gambar sebelum dicuci atau digilap dan kanan gambar sesudah cantik berseri...hehe

Yang ini gambar meja atau dulang tembaga berserta kaki kayu asalnya dalam keadaan asal sudah lama tersimpan di stor pemilik asal.


Kaki daripada kayu jati yang telah dicat coklat oleh pemilik asal. Selain cat coklat sebelum itu telah dicat dengan warna hitam.

Selesai membuang cat-cat lama..agak renyah juga kerja membuang lapisan cat lama kerana mempunyai 3 lapisan cat iaitu lapisan cat coklat, hitam dan lapisan syelek asal.

Dan...inilah hasilnya setelah saya cuci, gilapkan dulang/meja tembaga ini dan kakinya juga saya syelek semula. Puas hati.



Keadaan dulang meja tembaga setelah dicuci.



Keadaan kaki nya setelah dibaikpulih. 

Sekian saja untuk kali ini. Jumpa lagi di lain entry.

Friday, November 2, 2012

Tabak Tembaga

Agak lama saya tak update blog, kebelakangan ni mood nak update blog kurang, ditambah pula dengan kesibukan kerja-kerja di rumah dan pejabat. Hari ni saya kongsikan 'Tabak" tembaga yang saya warisi dari keluarga nenda saya sebelah ibu. Jika mengikut turutan, saya ialah generasi ke 5 yang menyimpan tabak ini. Dahulunya keluarga nenek saya menggunakan tabak ini sebagai tempat menyimpan pakaian, biasanya pakaian yang sudah siap di gosok, di lipat kemas dan di masukkan ke dalam tabak ini. Nenek saya merupakan generasi yang terakhir menggunakannya sebagai tempat menyimpan pakaian sewaktu beliau muda-muda dahulu. Tabak ni saya jumpa di dalam stor di kampung dalam keadaan yang kusam, di bawah merupakan gambar-gambar semasa mula-mula saya ambil sebelum di cuci.



Dan di bawah adalah hasilnya selepas saya cuci dengan sejenis kimia sama macam yang saya buat pada periuk tembaga sebelum ni. berkilat semula. Mungkin ada sesetengah orang sukakan yang asal, nampak kusam, tapi saya lebih suka mengilatkannya. Saya difahamkan ada sesetengah orang menggunakan tabak ini sebagai tempat menyimpan makanan, betul atau tidak saya tak pasti. Tabak ini bersaiz 17" dan sangat besar, juga mempunyai pelbagai saiz yang lebih kecil sedikit. Dahulukala kebanyakannya tabak ini digunakan oleh golongan bangsawan, di Perak masih boleh lagi dilihat tabak ini.


Bahagian dalam tabak selepas dicuci, sangat bersih dan berkilat. boleh diisi pakaian melebih 10 helai.

Contoh pakaian yang ditelakkan dalam tabak. menurut nenek, tabak ni juga pernah di bawa kemana-mana pergi jika berjalan jauh satu ketika dulu. Gosok pakaian terlebih dahulu dan dibawa masuk ke dalam kereta.dan pakaian yang disimpan didalam tabak ni lebih sejuk jika dipakai. Baju didalam tabak itu juga merupakan baju kurung lama arwah nenek saya sebelah bapa, baju tu pun sudah berusia lebih 55 tahun, nanti saya akan ceritakan pada entry yang lain.

Sekian saja untuk tatapan kali ini. jumpa lagi di lain entry.

Tuesday, October 9, 2012

Belanga Buruk

Sekali imbas memang tak berselera kan tengok 2 biji periuk tembaga ni...Tapi, kalau berusaha membersihkannya semula pasti kepuasan yang kita dapat. Belanga/periuk ni sememangnya dah lama saya cari sebab dulu-dulu moyang saya ada dan menggunakannya untuk memasak. Tapi, dah hilang masa rumah dimasuki pencuri, yang tinggal hanyalah tutup periuk saja yang nenek saya buat penutup tempayan merendam bedak sejuk. Saya memang suka mencari/mengumpul semula barang-barang lama yang ada kaitan dengan keluarga saya suatu masa dahulu dan yang dekat dengan diri saya. Apabila saya dapat barang-barang tersebut ianya akan mengembalikan kenangan zaman saya kecil dulu-dulu atau dapat mengimbas kembali nostalgia keluarga saya. Oleh kerana saya banyak dibesarkan di kampung, saya dapat merasa barang-barang lama yang mereka pakai dahulu. Awal bulan lepas, rezeki saya, saya dapat 2 biji periuk tembaga ni. Bila ada masa baru saya cuci bagi berkilat. Dianggarkan usinya lebih dari 60-70 tahun.

Yang ini periuk bertutup...saiz yang besar...biasa saya nampak orang jual disini saiz kecil dan sederhana. Dulu-dulu digunakan untuk memasak gulai dan sebagainya yang berkuah.

Ini pula adalah periuk kuih bakar. dimana diatasnya diletakkan bara api supaya bahagian atas dan bawah sama masak. Juga digunakan dulu-dulu.

Hasilnya bila dah siap dicuci dengan sejenis kimia, agak berisiko, perlu berhati-hati...tapi hasilnya memang memuaskan dan cepat...kurang sejam sahaja saya dapat membersihkan kedua-dua periuk ini. HAsilnya sangat berkilat dan kembali ke permukaan asal. Dibawah periuk terdapat cop mohor yang tertulis nama tukang tembaga tersebut dan daipada 'Penang".



Sekian saja untuk kali ini dan semoga ianya dapat menggamit kembali nostalgia lama...